Tuesday, December 15, 2015

PENGENALAN HAKMILIK STRATA

Hai semua..lepas saya terang serba sedikit pasal pindaan Akta Baru Hakmilik Strata. Ada yang tertanya-tanya apa itu strata..mari sini saya jelaskan, buka mata dan telinga luas-luas semoga dapat absorb apa yang saya tulis ok?

Hakmilik strata merupakan satu bentuk pemilikan untuk bangunan atau blok berbilang tingkat atau berbilang lapisan petak tanah yang dibangunkan di atas sebidang tanah berimilik. Perkataan ‘strata’ merujuk kepada unit yang dipecah bahagi pada berbilang lapisan. Hakmilik dikeluarkan untuk setiap unit (petak) bagi sesebuah bangunan berbilang tingkat. Contohnya, Rumah Pangsa, Pangsapuri, Kondominium, Penthouse, Townhouse, Kompleks Komersial dan Rumah Kedai.

Hakmilik strata mulanya telah diperkenalkan pada 1966 melalui Kanun Tanah Negara Malaysia 1965, untuk meningkatkan perundangan bagi pemilikan bangunan berbilang tingkat. Sebelum ini ia dikenali sebagai hakmilik subsidiari dengan rujukan bangunan yang didirikan di atas tanah berimilik. Pada pindaan 2007, konsep hakmilik strata telah diperluaskan bagi kegunaan petak-petak tanah di atas tanah berimilik.

Skim hakmilik strata mengandungi petak-petak individu dan harta bersama yang ditadbir secara tadbir urus sendiri oleh sistem perbadanan strata yang dikenali sebagai Perbadanan Pengurusan. Petak-petak samada apartmen, kondominium, rumah bandar, kompleks komersil, dan lain-lain ditunjukkan diatas hakmilik sebagai milikan oleh Pemilik Petak.

ISTILAH YANG DIGUNAKAN DI DALAM STRATA
Petak : merupakan unit individu di suatu skim pemajuan yang dipegang di bawah hakmilik strata berasingan. Petak tanah pula merupakan unit individu petak-petak tanah.

Petak Aksesori : merupakan petak aksesori yang digunakan bersama dan eksklusif bagi petak tersebut. Contohnya, suatu lot parkir bagi suatu unit rumah. Petak aksesori ini juga tidak didaftarkan sebagai satu hakmilik strata yang berasingan. Dengan itu ia tidak boleh dijual tanpa petak utamanya.

Harta Bersama : mana-mana bahagian lot yang tidak terkandung dalam mana-mana petak/petak tanah. Contohnya, tempat letak kereta pelawat, lif, tangga, tangki paip utama, pondok pengawal keselamatan.

Unit Syer : setiap petak diberi nilai syer yang selalunya mengikut jumlah keluasan lantai petak. Ia ditentukan oleh juruukur tanah berlesen pemaju sebagai nilai syer sementara dan akan menjadi muktamad apabila dipersetujui oleh PTG sebagai saksama apabila meluluskan pecah bahagian bangunan tersebut.

Perbadanan Pengurusan : sebuah perbadanan atau “body corporate” iaitu ianya boleh mendakwa dan juga boleh didakwa.  Perbadanan Pengurusan wujud di bawah Akta Hakmilik Strata dan tidak perlu didaftarkan dengan Pendaftar Syarikat atau Pendaftar Pertubuhan.


1 comment: